Wednesday 30 September 2015

AGIHAN PUSAKA...contoh...

AGIHAN PUSAKA : 

Cara Mengira Agihan Pusaka Dengan Faraid


Kali ni ADD bawakan satu senario sebuah keluarga yang dikira ‘standard’ di mana dalam sebuah keluarga diketuai oleh si suami, seorang Isteri dan lima orang anak yang terdiri daripada 2 kelaki dan tiga perempuan dan juga seorang ibu dan  bapa si suami.
Telah ditakdirkan si suami tadi telahpun meninggal dunia dan insan-insan di atas merupakan ahli waris si mati
Dengan mengandaikan bahawa urusan seperti kos pengurusan jenazah, hutang piutang, harta sepencarian dan wasiat si mati telah diselesaikan terdapat lebihan harta berjumlah RM3 juta untuk diagihkan kepada ahli waris mengikut kaedah faraid.

Setelah merujuk kepada surah an-nisa ayat 11, maka kadar pembahagian harta pusaka bagi waris-waris si mati mengikut faraid adalah seperti berikut:-
1. Bahagian si ayah adalah sebanyak 1/6
2. Bahagian si ibu adalah sebanyak 1/6
3. Bahagian si isteri adalah sebanayk 1/8
4. Anak-anak mendapat lebihan daripada baki harta di mana anak lelaki akan menerima 2 bahagian dan anak perempuan akan menerima satu bahagian.

Oleh itu setiap seorang ahli waris akan menerima bahagian masing-masing dengan jumlah yang berbeza mengikut kadar yang telah ditetapkan seperti di atas. Dan jumlah bahagian masing-masing adalah seperti berikut:-
1. Si ayah mewarisi sebanyak RM500,000
2. Si ibu mewarisi sebanyak RM500,000
3. Si isteri mewarisi sebanyak RM375,000
4. Anak lelaki mewarisi sebanyak RM464,285 setiap seorang
5. Anak perempuan mewarisi sebanyak RM232,146 setiap seorang

Itulah jumlah nilai yang diterima oleh waris si mati berdasarkan agihan secara faraid.

Bagaimana ADD mendapatkan nilaian bahagian ahli waris ni?

Jom ADD tunjukan cara pengiraannya.

KAEDAH 1 : Tentukan dahulu nilai yang diterima oleh Ayah, Ibu dan Isteri si mati.

Untuk menentukan nilai yang akan diterima oleh ketiga-tiga ahli waris ni maka kita akan gunakan kaedah pecahan.

Kita dah tahu bahawa bahagian Ayah dan Ibu si mati adalah 1/6 dan bahagian bagi isteri si mati adalah 1/8.

Untuk mengetahui berapakah keseluruhan bahagian yang ada, maka kita mesti cari pembawah yang sama bagi pecahan di atas

Maka

Menerusi kaedah di atas kita dah tahu bahawa keseluruhan bahagian harta peninggalan si mati adalah 24 bahagian. 4 bahagian masing-masing adalah untuk ayah dan ibu manakala si isteri mendapat 3 bahagian.

Langkah seterusnya kita perlu bahagikan RM3 juta tadi kepada 24 bahagian untuk kita ketahui berapakah jumlah bagi setiap bahagian

Maka


Jadi sekarang kita dah tahu berapa nilai bagi setiap bahagian. Merujuk kepada bahagian si ayah dan si ibu masing-masing mendapat 4 bahagian dengan nilai sebanyak RM500,000 (RM125,000 x 4) dan si isteri akan mendapat 3 bahagian dengan nilai sebanyak RM375,000 (RM125,000 x 4)

Keseluruhan bahagian yang telah diagihkan adalah sebanyak 11 bahagian (4 bahagian si ayah + 4 bahagian si ibu + 3 bahagian si isteri) daripada 24 bahagian. 

Maka terdapat lebihan sebanyak 13 bahagian yang masih belum ditentukan hak kepada baki ahli waris iaitu anak-anak si mati (2 lelaki dan 3 perempuan)

KAEDAH 2: Tentukan nilai yang diterima oleh anak-anak

Seperti mana yang ADD dah bagitau awal-awal tadi bahawa anak-anak si mati akan menerima lebihan harta setelah datuk, nenek dan ibunya mendapat bahagian masing-masing.
Memandangkan si mati mempunyai 2 orang anak lelaki maka pembahagian harta pusaka si mati akan terhenti setakat ini sahaja.

Jadi anak-anak lelaki si mati akan menerima dua bahagian manakala anak-anak perempuan si mati akan menerima 1 bahagian.

Maka


Nilai bagi lebihan harta pusaka si mati yang masih belum diagihkan adalah sebanyak RM1,625,000 (RM3,000,000 – RM1,375,000).

Oleh itu, RM1,625,000 perlu dibahagi dengan 7 bahagian untuk mengetahui berapakah nilai bagi setiap bahagian. Maka ia menjadikan setiap bahagian bernilai RM232,142.86.

Dengan ini kita ketahui bahawa :-

Anak lelaki akan mewarisi baki harta pusaka si mati sebanyak RM464,285 (RM232,142 x 2 bahagian) setiap seorang dan anak-anak perempuan si mati pula mewarisi RM232,142.86 tiap-tiap seorang.

Begitulah cara dan kaedah pengiraan faraid dilakukan. 

Namun perlu diingat, apa yang ADD kongsikan di sini hanyalah salah satu keadaan sebuah keluarga yang biasa.

Bagi kes si mati yang tidak ada anak lelaki, atau selain daripada situasi di atas maka kadar pembahagiannya berubah mengikut kepada kadar yang dinyatakan dalam ayat 11 dan 12 dalam surah an-Nisaa’.

Satu perkara yang ADD nak tekankan disini ialah faraid adalah pilihan terakhir dalam sistem agihan harta pusaka Islam apabila pilihan pembahagian sebelumnya tidak mendapat persetujuan semua ahli waris. 

Dan apa yang PALING PENTING ialah pembahagian harta pusaka tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya tidak ada perlantikan pentadbir harta pusaka.

Pentadbir harta pusaka merupakan individu / organisasi penting yang akan menguruskan proses pencairan segala aset si mati yang terbeku secara automatik sebaik sahaja si mati meninggal dunia.

Tanpa pentadbir harta pusaka maka tiadalah pengagihan harta pusaka dapat dibuat kepada waris. Perlantikan pentadbir harta pusaka sewaktu kita masih hidup hanya boleh dilakukan dengan menulis wasiat.


Semoga perkongsian kali ini akan memberikan pencerahan kepada anda tentang ilmu perancangan agihan harta pusaka Islam.

FARAID

Mari Mengenal Ilmu Faraidh (2)


HARTA PENINGGALAN (al-Tarikah)
Dari segi bahasa: Semua peninggalan simati samada bernilai atau tidak
Dari segi syarak: Semua peninggalan simati yang bernilai samada terikat dengan hutang atau pun tidak.

JENIS HARTA PENINGGALAN
1. Harta Alih seperti Duit, Akaun Bank, Tabung Haji, KWSP, ASB, Saham, Pelaburan,Takaful, Kereta, Motor, Perniagaan, Rumah Sewa, Barang Kemas, Hutang dan dan lain-lain.
2. Harta Tak Alih seperti Tanah, Rumah

HAK SI MATI ATAS HARTA PENINGGALAN
1. Pengurusan Jenazah
2. Hutang Simati.
3. Wasiat (tidak lebih 1/3) kepada bukan waris
4. Harta Sepencarian.
5. Agihan Baki Harta Mengikut Hukum Faraid.

WASIAT
Hukum asal adalah wajib (180: Al-Baqarah).
“Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara ma'ruf (adil dan baik). Ini adalah kewajipan atas orang-orang yang bertakwa”.

Ayat ini dinasakhkan bila turunnya ayat Faraid. Wasiat hanya dibolehkan pada had 1/3 harta kepada bukan waris. Maka tidak sah wasiat kepada waris kecuali dengan persetujuan semua waris lain. Persetujuan itu perlu berlaku selepas kematian pemberi wasiat.

Dari sudut perundangan di Malaysia, wasiat terbahagi kepada 2:
Wasiat Untuk Bukan Islam (Akta Wasiat 1959)
Wasiat Untuk Orang Islam:
- Wasiat Sivil (Melantik Pemegang Amanah bagi harta lebih RM2 juta)
- Wasiat Syar’ie (1/3 kpd bukan waris, sebagai amal jariah)

HARTA PUSAKA (al-Irth)
Semua harta milik sah simati yang mempunyai nilai atau tidak sama ada harta fizikal atau apa-apa hak dan kepentingan yang berkaitan dengannya seperti harta berbentuk alih atau tak alih, mata wang, hak atau kepentingan si mati atau manfaat selepas diselasaikan hak-hak seperti urus jenazah, hutang, wasiat, harta sepencarian dan sebarang perancangan harta yang dibuat semasa masih hidup.

PENGERTIAN ILMU FARAID
Ilmu yang menerangkan waris yang layak dan tidak layak mewarisi harta pusaka simati serta bahagian yang layak diterima dan cara pembahagiannya.

KELEBIHAN MEMPELAJARI ILMU FARAID

Sabda nabi SAW yang bermaksud:
”Belajarlah ilmu Faraid dan ajarkannya kepada orang lain kerana ia adalah separuh ilmu. Ia akan dilupakan dan ia akan menjadi perkara pertama dicabut dari umatku”
(Riwayat Ibn Majah)

Berkata Saidina Umar r.a:
”Belajarlah ilmu al-Sunnah, ilmu Faraid dan ilmu Bahasa Arab sebagaimana kamu mempelajari al-Quran”(Riwayat Imam al-Darimi)

SEBAB PEWARISAN
Nasab (keturunan/hubungan darah)
Perkahwinan
Wala’ (tuan yang membebaskan hambanya)

RUKUN PEWARISAN
Simati
Waris
Harta Pusaka

SYARAT PEWARISAN
Kematian pemilik harta yang pasti (hakiki/hukmi)
Waris dipastikan masih hidup.
Mengetahui hubungan antara waris dengan simati.

GUGUR PEWARISAN
Hamba
Membunuh pemilik harta
Berbeza agama.

KATEGORI PEWARISAN MENGIKUT TURUTAN
1. Ashabul Furud
2. al-‘Asobah
3. al-Raddu
4. Zawi Arham
5. al-Raddu (kepada suami atau isteri)
6. Asobah Sababiah
7. Wasiat lebih daripada 1/3
8. Baitulmal

(bagi kategori pewarisan di atas, pelaksanaan di Malaysia ialah no 1, 2 dan 8) 

Monday 24 August 2015

ANAK KITA SEDANG TENAT!

****credit to PIBG SKTBS


Sejak kebelakangan ini, banyak kes melibatkan pelajar seperti DADAH, ZINA SEHINGGA MELAHIRKAN ANAK,- VAPER DAN SHISHA STICK berleluasa dari sekolah harian hingga sekolah yang berasrama, dari sekolah rendah hingga sekolah menengah.

Kita telah digegarkan dengan kes pada baru-baru ini murid tahun 5 bersalin anak tidak sama taraf seramai 2 orang. Itu yang kita ketahui tetapi yang lain? Juga ada kes pelajar menengah bersalin di tandas dan di asrama. Itu kes yang dilaporkan yang kita tahu tetapi yang tidak dilapor bagaimana?

Gara-gara kecanggihan teknologi dan dasar keperluan, anak-anak kita diberi atau mereka sendiri yang membeli telefon pintar dengan tujuan asalnya untuk menghubungi keluarga jika ada keperluan tetapi telah disalah gunakan secara berleluasa.

TAHUKAH ANDA IBU BAPA?

Kebanyakan kes rampasan telefon pelajar di sekolah mendapati majortiti mereka memiliki bahan lucah didalam telefon tersebut. Ada kes ibu bapa berang kepada pihak sekolah atau pengurusan asrama apabila anak mereka tidak dibenarkan membawa telefon tetapi kemudian ibu bapa tersebut menyesal apabila anak mereka ditangkap berzina di bangunan tandas sekolah.

Hasil siasatan mendapati telefon digunakan untuk berhubung bagi mendapat "green light" untuk melakukan zina tersebut. Lebih parah lagi apabila rampasan telefon anak mereka dan dilihat sendiri oleh ibu bapa pelajar tersebut terdapat kandungan lucah yang mana gambar bogel anak mereka di utus kepada pasangan kekasihnya melalui whatsap.

Juga ada kes pelajar asrama yang menipu ibu bapa kononnya apabila musim balik kampung pergi rumah rakan kelas tetapi pergi tidur bersama kekasih di hotel atau rumah sewa kekasih mereka. Kepercayaan yang membuta tuli oleh ibu bapa terhadap alasan atau cerita rekaan anak mereka telah membawa padah kerana ada kes rentetan dari itu anak mereka menjadi mangsa rogol atau mengandung anak luar nikah.

ANAK KITA MAKIN PARAH

Dadah kini mudah diperolehi dan didapati. Pengalaman saya masa mengajar di sekolah dahulu pernah menangkap pelajar menjual "pil" kepada rakan kelasnya. Ada juga aduan bapa mengadu anak nya tidak mahu ke asrama atau ke sekolah kerana liciknya rakan sebaya mereka menghisap dadah atau menjual dadah sehingga guru disiplin tak mampu untuk mencari atau menangkap salah laku mereka.

Kini ada kes popular yang menular di sebahagian zon dengan air ketum. Pelajar menjadi ketagih meminum air ketum untuk berkhayal. Dan amat menyedihkan golongan dewasa ada yang tahu kegiatan pelajar tersebut tetapi tidak memainkan peranan mereka untuk mencegah atau menasihati mereka.

Tidak hairan mengapa anak melayu kita ramai di instituai pemulihan dadah berbanding di institusi pengajian tinggi.

ANAK KITA MAKIN SAKIT

Masalah rokok kini kurang popular tetapi kini yang kian popular adalah electronic smoke yang ada pelbagai jenis dipasaran. Tidak terhad dengan pelajar lelaki sahaja bahkan juga pelajar perempuan juga dengan tanpa rasa malu menghisap dan menghembus sambil berselfie serta dimuat turun pula dalam laman sosial.

ANAK KITA TENAT, PARAH DAN SEMAKIN SAKIT....

Saya menyeru semua ibu bapa untuk memainkan peranan utama dalam membimbing dan mendidik anak mereka terutama dalam akhlak dan sahsiah. Pendidikan awal adalah dari rumah dan meskipun sudah kita hantar anak kita ke sekolah atau asrama jangan kita merasakan amanah kita itu telah diambil alih oleh guru.
Sekolah atau asrama bukan tempat pemulihan yang mana kita ibu bapa tak mampu nak menangani lalu menempatkan anak kita yang bermasalah kepada guru untuk diprogram jadi insan.

Guru di bawah mereka terdapat beratus dan beribu murid untuk dijaga tambahan pula pelbagai tugas lain perlu dilaksana maka bukan mudah nak menumpukan perhatian khusus untuk anak kita sahaja.
Jangan jadikan alasan kerana kesibukan kerja kita untuk mengabaikan tanggungjawap memantau, membimbing dan mendidik anak kita. Itu adalah suatu alasan yang sangat tidak bertanggungjawap sebagai ibu bapa terhadap anak kita dan guru kepada anak kita.

Maka saya mencadangkan beberapa perkara kepada ibu bapa supaya tanggungjawap kemenjadian insan d
an kebaikan akhlak anak kita dapat dilaksana.

1. Didik anak kita bermula dari awal dan dari rumah tentang agama dan tuntutannya. Lebih baik yang mengajar adalah bapa yang selaku ketua keluarga

2. Menjalinkan hubungan baik dengan pihak sekolah khususnya guru yang mengajar anak kita. Lebih baik lagi kita ada no telefon mereka untuk kita bertanya berkembangan anak kita.

3. Jangan hanya hadir kesekolah semata-mata untuk ambil duit bantuan persekolahan sahaja dan kemudian terus hilang dan mesyuarat pibg pun tidak hadir serta tidak ambil peduli. Rajinkan diri sebulan sekali ziarah ke sekolah berjumpa dengan guru untuk mengetahui perkembangan anak kita dan berbincang dengan guru apa peranan lain yang boleh kita sebagai ibu bapa boleh lakukan untuk memperkembangkan potensi anak kita.

4. Jadikan anak-anak orang lain seperti anak kita. Peribahasa jangan menjaga tepi kain orang lain adalah tidak releven sekarang. Kita kena ambil peduli untuk menegur anak-anak yang lain dan memaklumkan kepada ibu bapa mereka supaya tindakan awal dapat dilakukan jika anak mereka melakukan salah laku. Juga kita juga jangan cepat melenting jika anak kita sendiri yang ditegur. Nasihat saya, jangan membela anak kita membuta tuli, anak kita ada masa mereka sememangnya pelakon terhebat.... depan kita ada sesetengahnya baik sangat dan pijak semut pun tak mati tetapi belakang kita tanduk naik buat jahat hantu pun kalah.

5. Buat siasatan secara rahsia tentang pegerakan dan aktiviti anak anda. Jangan terus percaya dengan mereka tetapi adakala kita kena pergi lihat sendiri secara rahsia untuk mensahihkan pergerakan atau aktiviti ya g dimaklum oleh anak kita.

6. Berikan sumbangan berupa kemahiran kepada pihak sekolah dengan menawarkan diri untuk terlibat dengan program atau aktiviti sekolah. Biasanya pihak sekolah sangat menghargai apabila adanya penglibatan ibu bapa.

7. Hadkan pemberian yang berbentuk mewah kepada anak kita seperti telefon pintar canggih. Kalau memang perlu untuk berhubung memadai dengan telefon seperti 3310 nokia. Tidak dinafikan komunikasi amat penting tetapi kita sebagai ibu bapa kena lihat pada semua sudut agar potensi masalah dapat dikurangkan ketahap sifar atau minimum. Kalau anak duduk di asrama minta bantuan warden untuk menjaga telefon tersebut dan membenarkan had penggunaan jika perlu sahaja.

JADILAH IBU BAPA YANG BERTANGGUJAWAP DAN
PERIHATIN TERHADAP ANAK KITA SENDIRI.

GURU BUKANLAH INDIVIDU UTAMA DALAM KEMENJADIAN AKHLAK TETAPI KITALAH SEBAGAI IBU BAPA YANG PATUT MEMAINKAN PERANAN UNTUK MEMBENTUK SAHSIAH ANAK KITA

Semoga kita ibu bapa memperoleh kesedaran sebagai warga yang perihatin terhadap anak kita sendiri. Jika kita melaksanakan peranan kita, insya Allah masalah sosial dan salah laku lain pasti dapat kita kawal daripada menular.

Jadilah ibu bapa yang mampu memimpin anak-anak dan bukannya ibu bapa yang diperhambakan oleh anak-anak.